1- Jualan Raksasa Singapura
Jualan raksasa Singapura diadakan pada pertengahan dan hujung tahun. Barang-barang seperti kasut, baju dan macam-macam lagi dijual dengan harga yang lebih murah. Ia sungguh berbaloi jika dapat membeli pakaian dan barang kerana harganya yang murah tetapi masih berkualiti. Jualan raksasa Singapura juga telah menjadi tempat tarikan pelancong dan orang tempatan. Membeli-belah adalah satu perkara yang digemari oleh pelancong dan penduduk tempatan. Masa ini adalah masa di mana pusat membeli-belah seperti Heeren, Far East plaza, Wisma Atria dan Arab Street penuh dengan orang ramai. Apabila jualan raksasa Singapura diadakan di ekspo, ramai ibu bapa membawa keluarga membeli barang keperluan rumah.
2 - Majlis Perkahwinan Yang Saya Hadiri
Kali terakhir saya hadir majlis perkahwinan ialah pada dua tahun yang lalu. Majlis itu dibuat di sebuah kolong blok. Pengantinnya adalah abang saudara saya dan secara kebetulan, pengantin perempuan adalah guru sekolah saya. Majlis itu sangat meriah dengan alunan muzik yang berkumandang. Kami juga dapat bertemu dengan saudara-mara dan ini dapat mengeratkan lagi sillaturahim antara kami. Saya juga dapat mempelajari adapt istiadat persandingan dan adat-istiadat perkahwinan yang lain. Jamuan yang dihidangkan semuanya enak-enak belaka. Saya juga mendapat berkat iaitu sebutir telur dan pulut. Saya rasa pasangan pengantin itu bagai pinang dibelah dua dan memahami antara satu sama lain serta saling sayang-menyayangi. Itulah faktor yang paling penting dalam sebuah perkahwinan.
3 - Pemakanan Yang Seimbang
Pada pendapat saya pemakanan yang seimbang harus diamalkan oleh setiap manusia. Definasi pemakanan yang seimbang ialah pandai mengimbangkan pemakanan seharianya iaitu bijak mengikut piramid makanan. Makanan yang paling penting untuk dimakan ialah nasi, roti dan gandum untuk memberi tenaga yang mencukupi. Jenis pemakanan ini terletak di bawah makanan piramid. Piramid pemakanan yang ketiga ialah buah-buahan dan sayur-sayuran. Kedua daging, ikan, ayam dan lain-lain lagi. Piramid pemakanan pertama yang harus kita elakkan ialah minyak, gula dan garam. Mengikut kajian seseorang manusia harus makan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menjauhi diri dari penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau barah. Jadi pemakanan yang seimbang boleh menentukan sama ada kita sihat ataupun mudah diserang penyakit.
4 - Pelajaran Daripada Pendidikan Moral
Ada banyak pelajaran yang saya dapat pelajari daripada pendidikan moral yang saya telah pelajari di sekolah dan juga di rumah. Pendidikan moral ini diadakan untuk mengajar kita tentang cara-cara untuk mengawal diri dari segi kelakuan dan juga disiplin. Misalnya, sebelum saya dididik, saya adalah seorang anak perempuan yang tidak sopan, malas, tidak bertanggungjawab dan saya langsung tidak menghormati kedua ibu bapa saya. Di sekolah, saya pula dipaksa untuk belajar pendidikan moral dan selepas beberapa pelajaran, saya mulai sedar tentang tingkah-laku saya yang biadap.
Saya juga belajar tentang cara-cara terbaik untuk menempuhi segala rintangan yang saya akan hadapi pada masa akan datang. Saya juga belajar untuk menghormati ibu bapa saya kerana mereka adalah orang tua saya yang telah bekerja keras untuk membesarkan saya dan juga menyayangi saya sehingga hari ini. Pendidikan moral juga mengajar saya tentang kebaikan dan juga keburukan sifat-sifat manusia yang hidup di dunia ini dan mendidik saya untuk menjadi seorang anak yang baik dan bersopan-santun.
5 - Kebersihan Asas Kesihatan
Kebersihan adalah satu-satunya asas kesihatan kita. Tanpa menjaga kesihatan diri, pastinya kesihatan seseorang itu akan terjejas kerana mendedahkan diri kepada penyakit-penyakit dan kuman-kuman yang merbahaya kepada tubuh kita. Saya rasa kebersihan itu bergantung pada disiplin diri sendiri. Sememangnya saya tidak suka jika seseorang itu tidak menjaga kebersihan mereka. Oleh itu, saya rasa bahawa setiap orang daripada kita harus mempertimbangkan kedua-duanya sekali dan pastinya, kebersihan adalah asas kesihatan. Sikap seseorang itu akan menentukan sama ada dia seorang yang pembersih ataupun sebaliknya.
6 - Tanggungjawab Anak Kepada Ibu Bapa
Tanggungjawab seorang anak kepada ibu bapa ialah untuk menjaga mereka setelah bersara pada usia senja mereka. Ini adalah kerana mereka tidak berkebolehan seperti mereka pada usia muda. Mereka lebih mudah jatuh sakit dan sering merasakan ketegangan urat di bahagian tubuh seperti di sendi-sendi dan di otot-otot tubuh mereka. Seorang anak juga harus sering berkomunikasi dengan ibu bapa mereka. Perhubungan komunikasi di antara anak dan ibu bapa adalah sangat penting untuk sesebuah keluarga yang bahagia. Dengan komunikasi dan perhubungan yang erat, ikatan silatulrahim antara anak dan ibu bapa akan lebih rapat. Anak juga harus sentiasa bersikap baik pada ibu bapa seperti bersopan-santun apabila bercakap, saling menghormati dan jangan sesekali mencuba untuk mengecewakan atau menyakiti hati mereka. Jika membuat silap, haruslah meminta maaf. Anak juga haruslah sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa.
7 - Menjaga Warga Tua
Warga tua adalah golongan yang perlukan bantuan dan sokongan moral yang kukuh. Setelah dibesarkan dari bayi hinggalah ke dewasa kelak, kita sebagai generasi muda haruslah menjaga dan membantu warga tua dalam usia senja mereka ini. Sebagai seorang remaja, saya berpendapat bahawa warga tua merupakan golongan yang harus dibantu dan diberikan sokongan moral agar mereka mempunyai keinginan untuk meneruskan hidup. Cara-cara bagi menjaga warga tua adalah dengan membantu mengemas rumah mereka. Dalam usia lanjut mereka itu, mereka tidak mempunyai tenaga yang cukup ataupun banyak untuk melakukan tugasan rumah yang berat seperti mengemas rumah.
Cara yang sewajarnya diberikan kepada golongan warga tua ialah sokongan moral yang mencukupi. Ada di kalangan warga tua yang telah dihantarkan ke rumah tumpangan warga tua, telah ditinggalkan oleh anak mereka sendiri. Bak kata pepatah, kacang melupakan kulit, anak-anak yang meninggalkan orang tua mereka di rumah tumpangan warga tua ini tidak mengenang jasa orang tua mereka yang telah membesarkan mereka dari bayi hinggalah dewasa. Saya berpendapat dan berharap agar remaja lain dapat mempelajari dari pengajaran ini dan tidak akan melakukan perkara yang sama.
8 - Kegiatan Menderma
Sering apabila saya lalu tempat-tempat seperti pusat pertukaran bas atau pusat membeli-belah, saya dihampiri oleh orang-orang yang meminta derma. Kadangkala, saya menghulurkan derma berbentuk wang ringgit. Menurut pengalaman saya apabila saya keluar meminta derma, ia bukan satu kegiatan yang mudah. Ini kerana, ramai yang enggan menderma walaupun tujuan utama yang menyebabkan kita memungut derma itu merupakan satu peristiwa yang baru berlaku, misalnya bencana tsunami. Malah, ramai yang akan memberi alasan mereka masing-masing untuk tidak menderma.
Bukan maksud saya untuk menyatakan bahawa ramai orang lokek untuk menderma. Tetapi kadangkala saya lihat mereka baru mengeluarkan duit dari POSB, tetapi tidak bolehkah mereka menderma walaupun ia sekecil satu dolar? Dengan jumlah yang sekecil itu, ia dapat merubah kehidupan mereka yang betul-betul memerlukannya. Malangnya, ada di antara kita yang alpa dengan keadaan di sekeliling kita. Ada di antara mereka yang hidup dalam keadaan papa kedana. Siapa yang akan membantu mereka jika bukan dengan pertolongan masyarakat? Malah, saya kagum dengan sikap orang-orang yang keluar memunggut derma, kerana ia merupakan satu kerja kebajikan yang murni dan tulus. Tetapi kita harus berhati-hati apabila menghulurkan derma kerana ada di antara mereka yang cuba menipu untuk kepentingan diri mereka sendiri.
9 - Kegiatan Senaman
Kegiatan senaman seharusnya dibuat setiap hari. Walaupun ramai daripada kita yang sibuk berkerja ataupun bersekolah, kita haruslah bersenam sekurang-kurangnya selama 20 minit hingga setengah jam sehari. Kegiatan senaman boleh dibuat di mana sahaja, tidak kiralah di rumah, di sekolah ataupun di gimnasium. Ramai daripada anggota masyarakat Singapura sekarang yang mementingkan kesihatan mereka dibandingkan dengan anggota masyarakat Singapura beberapa tahun dahulu. Kalau kita kurang bersenam, kita boleh mendapat bermacam-macam penyakit seperti serangan jantung, kencing manis dan sebagainya. Kegiatan senaman boleh dijadikan sesuatu kegiatan yang menarik dan boleh juga dibuat bersama ahli keluarga untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Di sekolah, kegiatan senaman dibuat semasa sesi senaman fizikal. Guru-guru sekolah membuat kegiatan senaman menarik dengan bermain bolasepak, bola keranjang dan sebagainya. Kerana itulah, ramai murid gemar sesi senaman fizikal. Kegiatan senaman boleh menolong murid-murid hilang tekanan akibat daripada pelajaran.
10 - Gaya Hidup Sihat
Pada pendapat saya, kesihatan adalah faktor paling penting dalam kehidupan kita. Ini kerana, tubuh yang sihat akan membuat otak kita cerdas dan kita akan menjadi aktif. Pada zaman sekarang, terdapat ramai orang yang gemar makan makanan yang mengandungi banyak kolestorol. Kita patut mengamalkan gaya hidup sihat supaya tubuh kita menjadi lebih sihat. Bersenam adalah faktor yang paling penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Pemerintah di Singapura telah cuba mengamalkan gaya hidup sihat di kalangan orang-orang Singapura melalui kempen dan penyebaran iklan-iklan. Tetapi hasilnya sungguh menyedihkan kerana terdapat ramai yang tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Kami patut makan makanan yang seimbang. Saya mengaku bahawa saya tidak selalu melakukan senaman dan memakan makanan seimbang, namun saya ada bersenam sekali sekala.
11 - Jenis Sukan Yang Digemari
Sukan yang saya gemari ialah sukan-sukan lasak, saperti mengayuh kanu, “trekking dan hiking”. Saya juga suka memanjat dengan tali. Saya suka sukan lasak ini kerana sukan-sukan ini dapat meningkatkan prestasi fizikal saya dan mencabar untuk membuat lebih baik dalam sesuatu sukan yang saya ceburi. Dengan menceburi sukan saperti “trekking dan hiking”. Saya dapat mengelakkan diri daripada tekanan dan mendekati diri saya dengan alam semulajadi kerana kehidupan di Singapura boleh dikatakana penuh dengan tekanan.
Cabaran-cabaran di dalam sukan ini juga tinggi. Saya suka sukan yang penuh dengan cabaran selain daripada sukan lasak, saya juga suka sukan yang lain saperti badminton, bola keranjang dan bola sepak. Saya suka permainan ini kerana sukan-sukan ini lebih senang dan tidak perlukan perkakas yang mahal untuk melakukannya.
12 - Kempen Berbudi Bahasa
Pemerintah Singapura telah mengadakan beberapa kempen berbudi bahasa di televisyen, radio dan di tempat-tempat awam seperti di perpustakaan dan sekolah-sekolah. Tujuan pemerintah Singapura berbuat demikian adalah untuk menyemai sifat kasih dan sayang kepada semua orang. Salah satu kempen berbudi bahasa adalah untuk memberi jalan kepada orang-orang cacat. Dengan ini, rakyat Singapura akan lebih memahami kondisi orang seperti ini dan juga ia dapat merasa bagaimana mereka merasa jikalau mereka tidak dapat jalan dengan bebas kerana semua rakyat Singapura berjalan dengan cepat dan menghalang orang cacat itu sampai ke destinasi mereka. Bukan itu sahaja, jikalau budi bahasa warga Singapura di tahap yang rendah, pelancong-pelancong yang datang ke sini akan mempunyai tanggapan negatif terhadap kita dan juga kepada Negara kita.
13 - Satu Permainan Tradisional Yang Kamu Kenali
Satu permainan tradisional yang saya kenali adalah permainan tradisional yang terkenal iaitu congkak. Saya suka bermain permainan tradisional ini semenjak saya masih kecil lagi. Saya mula bermain congkak apabila saya berumur enam tahun. Arwah nenek saya yang mempengaruhi saya untuk bermain congkak. Hingga kini,saya akan selalu bermain congkak bersama keluarga saya dan juga saudara-mara. Apabila saya bermain permainan tradisional ini, saya akan selalu mengingati arwah nenek kerana dialah orang yang mengajar saya untuk bermain permainan tradisional ini. Apabila saya bermain bersama adik-beradik ataupun saudara-mara, saya akan selalu menang bukan kerana saya bermain tipu kerana saya diajar oleh seseorang yang sangat pintar dalam permainan tradisional ini.
14 - Faedah Menghadiri Kelas Bimbingan
Saya mendapat banyak faedah menghadiri kelas bimbingan. Salah satu faedah ialah saya boleh mengulangkaji mata-mata pelajaran yang saya lemah. Kalau saya tidak tahu, cikgu boleh menolong saya. Saya akan menjadi lebih mahir dalam pelajaran saya jika menghadiri kelas bimbingan. Lagi satu faedah ialah saya tidak membuang masa. Kalau saya balik rumah, saya tidak akan belajar kerana di rumah terdapat komputer dan playstation 2 yang akan membuat saya tidak mengulangkaji pelajaran saya. Dengan menghadiri kelas bimbingan, saya bukan sahaja dapat belajar dengan tekun tetapi saya juga tidak membuang masa kerana masa itu emas.
15 - Kerja-Kerja Kemasyarakat
Sebagai masyarakat yang amat menitikberatkan rakyatnya, pemerintah Singapura menggalakkan supaya rakyatnya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan untuk mengeratkan lagi ikatan perhubungan sesama rakyat. Antara kerja kemasyarakatan yang pernah saya lakukan ialah memunggut derma yang disalurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Pada pendapat saya, kerja-kerja kemasyarakatan ini amat bagus kerana ia dapat melahirkan perasaan faham-memahami antara satu lain, walaupun umur dan bangsa mereka berlainan. Kerja-kerja kemasyarakatan seperti berkomunikasi dengan warga tua di rumah tumpangan dapat membuka mata masyarakat akan kesengsaraan jiwa yang warga tua ini rasakan apabila mereka dihantar ke sana. Membuat kerja kemasyarakatan ini bak kata pepatah sambil menyelam minum air, bukan saja dapat menolong warga tua,ia juga dapat mengajar kita nilai-nilai kehidupan.
16 - Mempelajari Lebih Daripada Satu Bahasa
Pada pendapat saya, ia adalah satu kelebihan jika kita dapat mempelajari lebih dari satu bahasa. Kita dapat berbual dengan bangsa lain dengan lebih baik kerana kita dapat bercakap dengan bahasa mereka. Di Singapura, ia penting untuk kita mempelajari lebih dari satu bahasa terutama sekali bahasa Inggeris dan bahasa Cina kerana sekarang banyak pekerjaan yang memerlukan pekerja yang tahu lebih dari satu bahasa. Pada pendapat saya juga, orang lain tidak boleh mempermainkan kita jika kita tahu bahasa mereka. Peluang untuk mencari pekerjaan lebih cerah jika kita mempelajari lebih dari satu bahasa.
17 - Hubungan Remaja Dengan Jenayah
Memang benar pada masa kini terdapat segolongan remaja yang terlibat dengan jenayah. Selalunya, remaja tersebut melakukan jenayah berkemungkinan kerana kekurangan kasih sayang daripada orang tua mereka. Dengan melakukan jenayah, mereka mengharap bahawa orang tua mereka akan memberi lebih perhatian. Sememangnya mereka sedar bahawa kelakuan itu salah tetapi sanggup melakukan apa sahaja bagi menarik perhatian.
Selain itu, sesetengah daripada remaja yang terlibat dengan jenayah berpunca dari pengaruh teman-teman mereka. Jenayah yang sering dilakukan remaja ialah mencuri. Kemungkinan ia berlaku kerana remaja tersebut kekurangan wang untuk membeli barang yang diingini, dan apabila melihat teman-teman mereka mempunyai barang itu, keinginan mendapatkan barang tersebut kian meningkat dan dari situlah berpuncanya jenayah mencuri.
18 - Sebuah Majlis Perkahwinan
Saya pernah menghadiri pelbagai jenis perkahwinan. Perkahwinan kaum India, Cina, Kristian dan sebagainya. Namun, majlis yang paling saya kagumi dan masih segar di ingatan saya ialah majlis perkahwinan abang saudara saya, Hilmi yang kini berusia 27 tahun. Apa yang membuatkan saya kata bahawa perkahwinan ini lain daripada yang lain ialah kerana ia mempunyai kombinasi perkahwinan budaya orang Melayu dan Kristian. Seperti biasa, majlis perkahwinan itu berlangsung selama dua hari. Pada hari pertama, ia berlangsung di kolong blok si suami dan isteri. Pada hari kedua, majlis perkahwinan itu berlangsung di sebuah hotel 5 bintang di Raffles Hotel. Tempat yang dipilih untuk majlis tersebut sangat luas dan menarik. Abang saudara saya serta isterinya mengenakan pakaian ‘suit’ yang berwarna kuning-kuningan. Makanan yang dihidangkan sangat enak dan bermutu tinggi. Majlis yang gilang-gemilang itu diakhiri dengan letupan mercun.
19 - Jenis Muzik Yang Kamu Minati
Saya gemar mendengar stesen radio ‘Class 95’ kerana ia memainkan lagu-lagu zaman sekarang dan zaman 80’an. Jenis-jenis muzik yang bermain di stesen radio tersebut seperti lagu-lagu rock, jazz, hip-hop dan pop. Saya paling minati mendengar lagu-lagu klasik rok kerana ia amat enak mendengarinya. Salah satu artis kegemaran saya ialah kumpulan U2 yang menyanyi lagu klasik rok. Beliau menyanyi lagu-lagu tentang kehidupan. Saya amat tertarik dengan lagu-lagunya. Lirik dalam lagu-lagu U2 sungguh bermakna. Oleh itu saya gemar mendengar lagu-lagunya. Selain dari klasik rok, saya juga minati mendengar lagu-lagu bhangra kerana rentaknya pantas dan sedap di dengar. Walaupun saya tidak faham lirik bhangra,saya gemar mendengar rentaknya.
20 - Remaja Mementingkan Kebendaan
Remaja zaman kini lebih mementingkan kebendaan daripada keluarga dan pelajaran. Mereka lebih mementingkan penampilan mereka dan kelebihan yang mereka ada seperti telefon bimbit dan benda-benda berjenama. Mereka sanggup ikat perut untuk menyimpan duit makan sekolah mereka bagi membeli barang yang mereka ingini. Sebagai seorang remaja, saya juga mahu barang-barang yang saya amat ingini tetapi saya tidak akan abaikan kesihatan saya dengan menahan lapar. Remaja yang mampu membeli barang-barang terkini akan membuat rakan mereka rasa cemburu. Dengan ini, ia akan meningkatkan kadar kecurian antara rakan sendiri. Lebih-lebih lagi kepada remaja yang suka menunjuk-nunjuk dengan apa yang mereka mampu beli.
21 - Mempelajari Lebih Daripada Satu Bahasa
Pada pendapat saya, ia amat penting untuk mempelajari lebih dari satu bahasa. Ini disebabkan apabila kita mempelajari bahasa orang lain, kita dapat memahami cara perbualan mereka dan juga dapat berkomunikasi dengan orang yang berlainan bangsa. Ini dapat memudahkan pemahaman kita. Contohnya, jika seseorang yang bukan berbangsa kita menanyakan sesuatu dalam bahasa mereka, kita dapat memahami apa yang mereka ucapkan. Bukankah ini satu keutamaan bagi kita untuk merapatkan lagi silaturrahim antara kita? Oleh itu, saya berpendapat bahawa jika kita diberi peluang untuk mempelajari bahasa lain, jaganlah kita menolak. Ia juga dapat memberi kita pengalaman untuk mengetahui bahasa mereka. Lebih-lebih lagi, Singapura adalah sebuah negara yang dikenali sebagai negara yang menekankan keharmonian kaum untuk kekal aman sepanjang masa.
22 - Kerja-Kerja Kemasyarakatan
Kerja-kerja kemasyarakatan adalah satu aktiviti yang patut digalakkan dan dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Ia bukan sahaja sesuatu yang sihat malah pada masa yang sama ia adalah kerja kebajikan. Tidak dinafikan ramai orang tidak gemar menceburkan diri dalam bidang ini. Dan biasanya mereka akan memberi pelbagai alasan seperti tidak mempunyai masa dan sentiasa bekerja. Contoh-contoh kerja-kerja kemasyarakatan adalah mengumpul derma, menolong di rumah orang-orang tua, mengambil bahagian di balai rakyat ataupun menceburkan diri untuk menjadi sukarelawan kepada para pesakit AIDS. Kerja-kerja kemasyarakatan harus digalakkan di kalangan para remaja agar mereka menjadi seorang yang berhati mulia dan peka kepada kesusahan orang lain.
No comments:
Post a Comment